Rabu, 19 September 2012

MENGENDALI Sistem Perakaunan Berkomputer UBS

(UBS Computerised Accounting System)

Sebuah Panduan Bebas Berdasarkan Pengalaman Mengguna dan Mengajar Perakaunan Berkomputer UBS (UBS COMPUTERISED ACCOUNTING).
oleh ISMAIL HASHIM

Pendahuluan

Sehingga buku ini ditulis, penulis mendapati belum ada sebuah buku mengenai Sistem Perakaunan UBS diterbitkan dalam Bahasa Melayu untuk pasaran umum. Semasa penulis mengajar subjek ini disebuah pusat latihan, terdapat banyak pertanyaan dari pelajar-pelajar yang mempelajari Sistem Perakaunan Berkomputer UBS mengapa tiada buku yang menerangkan mengenai Sistem ini dalam Bahasa Melayu. Terdapat juga permintaan supaya diterbitkan buku yang sedemikian. Dari situlah, penulis cuba memenuhi kekosongan ini. Semoga buku ini sesuai dengan keperluan yang ada.
Buku ini tidak bertujuan menggantikan manual resmi yang dikeluarkan oleh syarikat UBS Corporation Berhad bagi Sistem ini. Buku ini adalah satu pandangan bebas penulis berdasarkan pengalaman penulis menggunakan Sistem ini secara peribadi atau semasa menunjuk-ajar para pelajar mengenai Sistem ini. Jika terdapat kesilapan atau kesalahan fakta, sila hubungi penulis melalui alamat emel ibh1@live.com.

Amalan Dalam Buku Ini

Keterangan dalam buku ini adalah berasaskan kepada Sistem Perakaunan Berkomputer UBS Versi 8.3 dan sedikit sebanyak versi 9.0. Tidak terdapat perubahan ketara dalam versi 9.0 kecuali dalam antaramuka pengguna (user interface) dan tambahan beberapa anak menu.
Sistem Perakaunan Berkomputer UBS yang digunakan oleh penulis untuk buku ini adalah versi percuma untuk tujuan pembelajaran (For Educational Purposes).

Percampuran Bahasa dalam buku

Dalam buku ini, terdapat percampuran penggunaan bahasa iaitu antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Keterangan, seberapa boleh, dibuat dalam Bahasa Melayu tetapi terma-terma perakaunan dan terma-terma Sistem dinyatakan dalam bahasa Inggeris (dengan terjemahan seberapa boleh). Ini kerana penggunaan Bahasa Inggeris lebih digunakan secara meluas oleh pengguna Sistem Perakaunan Berkomputer UBS dan pengamal-pengamal perakaunan. Bagaimanapun, pada pandangan penulis, ini tidak akan menganggu kelancaran pengguna dalam memahami Sistem ini oleh pembaca-pembaca Bahasa Melayu, malah akan mendedahkan mereka kepada Bahasa Inggeris.
Perkataan atau ayat dalam bahasa Inggeris seberapa boleh diberi penekanan dengan warna yang lebih gelap.

Perkataan 'Sistem' dalam buku

Perkataan Sistemseringkali digunakan dalam buku ini. Ia merujuk kepada Sistem Perakaunan Berkomputer UBS (UBS Computerised Accounting).

Perkataan 'Folder' atau 'Direktori'

Perkataan Folder dan Direktori merujuk kepada item yang sama. Kadang-kadang perkataan lokasi juga digunakan.

Lengkap ?

Buku ini tidak dimaksudkan sebagai rujukan lengkap, tetapi memadai untuk membolehkan anda mengendali Sistem dengan selesa.

Peribadi

Kandungan buku ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi penulis semasa mengendalikan Sistem Perakaunan Berkomputer UBS. Oleh itu, pengalaman pembaca mungkin berlainan.

Kekuatan Buku Ini

Pada masa buku ini ditulis, ada kemungkinan ini adalah buku pertama dipasaran Malaysia mengenai sistem Perakaunan Berkomputer UBS dalam Bahasa Melayu.
Pendekatan dalam buku ini berbeza dari manual yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar Sistem ini. Pendekatan adalah berdasarkan pengalaman penulis dalam mengguna dan mengajar subjek ini. Penulis mengenalpasti keperluan pengguna lalu mempraktikkannya dalam penyusunan bab-bab dan kandungannya.
Penulis menyedari bahawa ramai pengendali Sistem tidak berlatarbelakangkan bidang perakaunan atau Simpankira. Dengan itu penulis cuba memberi pendekatan bermula dari yang paling asas.
Buku ini mengandungi persoalan-persoalan teknikal yang tidak terdapat dalam manual dan mengandungi tip-tip berguna yang anda mungkin tidak perolehi dalam kelas-kelas pengajaran lain.
Bahasa yang digunakan mudah. Terjemahan bagi terma-terma dalam bahasa Inggeris, bila perlu, diberi dalam mukasurat yang sama.
Buku ini mengandungi banyak gambar-gambar. Lebih dari 440 gambar. Gambar-gambar memudahkan anda memahami operasi Sistem tanpa perlu membuka Sistem di komputer.

Sasaran Buku Ini

Buku ini berguna bagi :
- Mereka yang mahu dan menggunakan sistem Perakaunan Berkomputer UBS.
- Pelajar-pelajar perakaunan dan perniagaan di pusat pengajian awam atau swasta.
- Kolej-kolej dan pusat pusat pengajian.
- Perpustakaan-perpustakaan.

Sedikit Mengenai Penulis

Penulis berpengalaman mengguna dan mengajar Sistem Perakaunan UBS. Beliau berkelulusan Diploma Lanjutan Perakaunan dari Institut Teknologi MARA (Sekarang UiTM). Beliau berpengalaman bekerja hampir 18 tahun meliputi pekerjaan dalam bidang perakaunan, percukaian, setiausaha syarikat, audit luaran, audit dalaman, perguruan dan lain-lain dari peringkat perkeranian hingga ke pengurusan. Beliau telah menulis empat (4) buah buku sebelum ini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar